Tuesday, March 6, 2007

Pelahiran dan Kelahiran

Apakah yang dimaksudkan kelahiran?

Pada minggu-minggu terakhir kehamilan, berlaku beberapa perubahan baru yang menandakan kelahiran yang bakal anda hadapi. Sebagai contoh, anda dapat merasakan bayi berada lebih bawah di bahagian abdomen dan orang mungkin menegur yang bayi anda telah "menurun". Keadaan ini dikenali sebagai "keringanan" dan ia bermaksud bahawa kepala bayi telah masuk ke bahagian bertulang di pelvis anda. Kadangkala ia berlaku dengan cepat dan anda akan mendapati secara tiba-tiba lebih mudah untuk bernafas. Kadangkala proses "keringanan" tidak akan berlaku sehinggalah selepas proses pelahiran bermula.

Kelahiran atau "labour" bermaksud kerja. Pada masa ini, anda perlu bekerja keras untuk menolak bayi keluar dari rahim anda ke dunia. Ia mungkin merupakan salah satu usaha paling sukar yang pernah anda lakukan. Pangkal rahim yang terbentuk daripada tisu padat, berbentuk seperti "doughnut" kecil dan berlubang di tengah-tengahnya, telah menutup sepanjang kehamilan. Kini ia perlu meregang cukup luas supaya bayi dapat melaluinya. Rahim akan mengecut dan memaksa pangkal rahim membuka lebih lebar, sedikit demi sedikit selama beberapa jam. Pengalaman pengecutan rahim adalah berbeza-beza bagi setiap wanita. Sesetengah wanita mengumpamakannya seperti ombak yang semakin membesar dan membesar sehingga mencapai puncaknya sebelum menyusut semula.

Kelahiran Palsu

Pengecutan rahim di peringkat akhir kehamilan adalah satu perkara yang normal. Ia dikenali sebagai "pelahiran palsu" kerana ia tidak membuka pangkal rahim seperti yang berlaku dalam pelahiran sebenar. Di sini disenaraikan tanda-tanda yang dapat membantu anda membezakan antara pelahiran palsu dan pelahiran sebenar:
• Pengecutan pelahiran palsu selalunya tidak kerap berlaku.
• Pengecutan pelahiran palsu selalunya akan hilang apabila anda berjalan-jalan manakala dalam pelahiran sebenar, pengecutannya dirasai semakin kuat.
• Pengecutan dalam pelahiran sebenar akan menjadi lebih kuat dan semakin rapat di antara satu sama lain.
Pada akhir kehamilan, bahagian bawah abdomen anda mungkin terasa tegang atau sesekali berlaku pengecutan rahim. Pengecutan ini akan hilang apabila anda berjalan-jalan atau mempraktikkan teknik pernafasan. Jika ia tidak hilang, hubungilah doktor segera.