Tuesday, March 6, 2007

PERINGKAT KELAHIRAN


Peringkat pelahiran
Pelahiran boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat. Semasa peringkat pertama, pangkal rahim akan membuka seluas yang mungkin untuk membolehkan bayi melaluinya. Peringkat kedua pula bermula apabila anda menolak bayi keluar daripada rahim ke dalam saluran kelahiran dan ia berakhir apabila bayi dilahirkan. Peringkat ketiga ialah apabila uri (selepas kelahiran) dikeluarkan. Keseluruhan proses pelahiran ini mengambil masa selama 12-14 jam untuk bayi yang pertama dan lebih kurang 7 jam untuk kelahiran bayi yang seterusnya


Peringkat Pertama:

Semasa peringkat pertama pelahiran, anda akan kerap diperiksa untuk mengetahui perkembangan bukaan pangkal rahim. Ini dilakukan melalui pemeriksaan faraj. Doktor akan mengukur bukaan pangkal rahim di dalam ukuran sentimeter. Apabila pangkal rahim membuka pada tahap maksimum iaitu 9 -10 sentimeter, bukaan adalah cukup besar untuk bayi melaluinya.
Peringkat pertama pula boleh dibahagikan kepada pelahiran awal dan pelahiran aktif:
1. Pelahiran Awal: Semasa proses pelahiran awal, pangkal rahim akan mengembang dari 0 hingga 3 sentimeter. Inilah ketikanya anda mengalami tanda-tanda awal kelahiran seperti kesan lendir bercampur darah, kantung air (ketuban) memecah, dan corak pengecutan yang stabil. Semasa pelahiran awal, anda akan mengalami pengecutan selama lebih kurang 30-60 saat, setiap 5 - 20 minit sekali. Pengecutan ini mungkin bermula seperti Braxton-Hicks yang telah anda alami beberapa ketika ini, dan ia biasanya seperti ombak yang kecil. Apabila pengecutan anda berlaku setiap 5 minit untuk selama 1 jam, ia merupakan masa yang sesuai untuk menghubungi doktor anda. Melainkan beliau mencadangkan sebaliknya, atau air ketuban telah pecah, mungkin terlalu awal untuk anda pergi ke hospital. Biasanya peringkat ini mengambil masa yang agak panjang bagi kehamilan yang pertama; berbincanglah dengan doktor anda untuk memastikan masa yang betul-betul sesuai untuk pergi ke hospital, dengan mengambil kira jarak dan kesesakan lalu lintas yang mungkin berlaku. Perasaan anda pada saat ini mungkin bertukar-tukar dari gembira kepada takut, dan mungkin juga merasa lega. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk merekodkan pengecutan anda; dari bermulanya satu pengecutan ke pengecutan yang berikutnya. Cuba bertenang. Walaupun anda terasa ingin mengemas seluruh rumah, cuba atasinya kerana anda memerlukan sepenuh tenaga untuk proses pelahiran. Jika di waktu malam, cuba tidur semula. Hubungi pasangan, jurulatih, atau sesiapa yang anda inginkan sebagai teman di hospital dan maklumkan apa yang sedang berlaku. Lebih baik sekiranya anda makan sajian yang ringan dalam kuantiti sedikit dan mengelakkan makanan berat bermula dari saat ini supaya saluran penghadaman anda tidak penuh dengan mekanan yang mungkin akan mengganggu proses pelahiran. Periksa semula beg kelengkapan bersalin anda untuk memastikan anda segala yang diperlukan telah ada dan untuk menambah keperluan lain seperti snek dan minuman. Mula amalkan teknik berehat yang anda pelajari, dengan menarik nafas dalam-dalam secara perlahan-lahan.
2. Kelahiran Aktif: Pada peringkat ini, bukaan pangkal rahim mungkin telah berkembang sehingga 4-6 sentimeter. Anda akan mengalami pengecutan yang lebih lama, kuat, dan lebih kerap. Ia akan bermula dari selang masa 1-3 minit, selama lebih kurang 60-75 saat. Walaupun lebih kurang sama seperti pengecutan pada pelahiran awal, ia akan menjadi semakin kuat dan sakit dengan cepat. Jururawat atau bidan mungkin akan bersama anda sepanjang proses ini. Bapa kepada bayi atau orang yang menemani anda dibenarkan menemani anda di dalam bilik bersalin jika dipersetujui oleh anda dan pihak hospital. Tumpukan perhatian untuk berehat seberapa banyak yang boleh. Semakin anda relaks, semakin kurang anda merencat pengecutan yang berlaku yang sedang bekerja keras untuk mengembangkan dan menipiskan bahagian pangkal rahim. Berjalan-jalan dan duduk dapat membantu anda. Elakkan dari berbaring terlentang terlalu lama. Jika anda perlu berada di atas katil, pastikan anda selalu mengalihkan posisi. Tarik nafas perlahan-lahan dan dalam-dalam seberapa lama yang boleh untuk menolong merehatkan anda. Untuk memastikan bayi berada dalam keadaan yang baik semasa proses pelahiran, doktor atau jururawat akan memeriksa denyutan jantung bayi, sama ada dengan menggunakan stetoskop atau dengan melalui pemantauan janin secara elektronik menerusi wayar yang di pasang di abdomen anda. Semasa pelahiran, proses pengecutan akan menyebabkan anda berasa tidak selesa. Anda boleh meminta ubat untuk meredakan kesakitan ini. Doktor akan memberi ubat yang paling sesuai di samping mengambil kira keadaan anda dan bayi di dalam kandungan. Analgesik merupakan ubat yang melegakan kesakitan dan pengecutan melalui suntikan.
Peringkat Kedua Apabila pangkal rahim telah membuka dengan cukup besar, kepala bayi akan mula melaluinya. Jika air ketuban masih belum pecah, ia akan menyebabkan pancutan cecair dari faraj. Pada peringkat ini, bayi akan ditolak melalui pangkal rahim yang terbuka, menerusi faraj dan dilahirkan. Peringkat ini lebih singkat dari peringkat pertama, iaitu 1.5 jam untuk bayi pertama dan 30 minit atau kurang bagi anak yang 5 berlanjutan selama 1 minit. Semasa bayi bergerak, sedikit demi sedikit melalui saluran kelahiran, ia akan mengenakan tekanan di rektum dan menyebabkan anda seperti hendak meneran najis. Doktor dan jururawat mungkin akan meminta anda melakukan teknik pernafasan yang khusus semasa meneran. Meneran selalunya akan melegakan sedikit ketidakselesaan dan memendekkan proses pelahiran. Namun adalah penting untuk tidak mula meneran sehinggalah doktor mengarahkan anda untuk melakukannya. Peringkat ini akan berlanjutan sehinggalah bayi dilahirkan dan mungkin mengambil masa selama 10 minit hingga 2 jam lamanya. Anda hendaklah berada dalam kedudukan meneran yang paling selesa dan efektif. Gunakan sepenuh tenaga untuk meneran dan rehat seketika di antara proses meneran itu. Ikut arahan doktor dan jururawat. Jika perlu, episiotomi mungkin dilakukan. Di akhir peringkat ini, bayi anda akan dilahirkan. Pada peringkat ketiga pelahiran, uri dan membran akan dikeluarkan melalui bukaan faraj. Ia biasanya berlaku dalam masa 5-30 minit selepas bayi dilahirkan.

No comments: